-

-
YA ALLAH... SELAMATKAN ISLAM, ORANG-ORANG ISLAM DAN NEGARA ISLAM SELURUH DUNIA..

Al Quran

1) "Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu dan anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman, supaya melabuhkan pakaiannya bagi menutup seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar); cara yang demikian lebih sesuai untuk mereka dikenal (sebagai perempuan yang baik-baik) maka dengan itu mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah adalah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Al-Ahzab:59)


Jom support ISLAM.. Boikot Yahudi DAN Nasrani..

Waktu Solat

.

.
Waktu Solat Kawasan Anda ?

...Pesanan...

Enhanced with Snapshots

Blog-GempaQ


Martabatkan Sekolah Agama Rakyat....

Rakan Seperjuangan

Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Sirah. Papar semua catatan

Meriahkan Eidul Adha Daripada Eidul Fitri


HARI Raya Aidiladha dan ibadah korban tidak dapat dipisahkan dengan peristiwa Nabi Ibrahim a.s. yang diperintahkan oleh Allah SWT supaya mengorbankan puteranya, Nabi Ismail a.s.
Sayangnya, peristiwa agung ini sekadar dilihat dari sudut sejarahnya semata-mata. Sebab itulah, acap kali tibanya Aidiladha, segelintir masyarakat Islam di negara ini meletakkan perayaan ini setaraf dengan hari-hari cuti biasa. Berbeza dengan sambutan Hari Raya Aidilfitri, yang disambut selama sebulan.
Adakah ini menunjukkan penghayatan terhadap pengertian dan pengajaran di sebalik Aidiladha itu sudah semakin terhakis dalam masyarakat kita? Jika ya, bagaimanakah seharusnya peristiwa tersohor ini dihayati pengajarannya sesuai dengan senario kehidupan sekarang.
Mengakui keperluan mendesak bagi menyemarakkan ibadah korban, Pengetua Kompleks Anak Yatim Darul Kifayah, Faridilatras Abd. Rahman berkata, sememangnya ibadah korban dan sejarah pengorbanan Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail a.s tidak dapat dipisahkan.
“Sebenarnya Allah SWT menjadikan Hari Raya Haji sebagai salah satu syiar agama-Nya. Dalam istilah syarak, hari ini yang juga dikenali sebagai Hari Raya Aidiladha yang bererti perayaan penyembelihan korban.
“Oleh itu, jika kita benar-benar memahami sejarah berlakunya ibadah korban serta menghayati kisah Habil dan Qabil, maka ia akan mendidik jiwa sosial yang tinggi atau dalam erti kata lain, peka terhadap sosio-ekonomi dalam masyarakat,” katanya dalam pertemuan dengan Mega, baru-baru ini.
Ibadah korban juga dapat melatih dan mendidik individu Muslim itu untuk bersikap dermawan.
Ini kerana Islam menyuruh agar daging sembelihan korban itu disedekahkan dan diagihkan kepada fakir miskin, di samping orang yang berkorban juga harus hukumnya memakan sebahagian kecil daripada daging tersebut.
Menurutnya lagi, perkara ini jelas menunjukkan bahawa Islam mengambil berat masalah yang dihadapi oleh golongan yang kurang bernasib baik.
“Begitu juga dengan kewajipan berzakat, disunatkan sedekah dan digalakkan penyembelihan korban, di mana menunjukkan agama Islam mengajar umatnya sentiasa menjauhi sistem ekonomi liberal yang menimbulkan jurang pemisah antara golongan miskin dan kaya.
“Sebaliknya Islam menggalakkan kesamaan ekonomi, kesamarataan kekayaan dan perkongsian kemakmuran,” jelasnya.
Hakikatnya terang Faradilatras, Aidiladha adalah perayaan yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia. Ia merupakan sambutan terbesar dan teristimewa dalam agama Islam selain Hari Raya Aidilfitri.
Hari Raya Aidiladha disambut pada 10 Zulhijjah setiap tahun. Bermula dengan takbir Aidiladha pada malam 10 Zulhijjah, diikuti dengan solat sunat Aidiladha, khutbah pada pagi 10 Zulhijjah dan kemudian dilangsungkan ibadah korban yang boleh dilakukan pada 10, 11, 12 atau 13 Zulhijjah.
Tegas beliau, perayaan Aidilfitri dan Aidiladha adalah sama sahaja berdasarkan kepada hadis yang diriwayatkan oleh Abu Daud daripada Anas r.a, yang bermaksud: “Rasulullah SAW datang ke Madinah, sedangkan mereka sedang sibuk bergembira selama dua hari. Maka Rasulullah SAW bertanya: Hari apakah yang dua hari ini? Mereka menjawab: Kami biasa bergembira selama dua hari pada zaman Jahiliah: Kemudian Rasulullah bersabda: “Sesungguhnya Allah SWT telah menggantikannya dengan hari yang lebih baik daripada dua hari itu bagi kamu iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.” (riwayat Abu Daud)
Oleh itu, jelaslah bahawa perayaan Aidilfitri dan Aidiladha adalah sama. Malah Rasulullah SAW juga ada menyatakan tentang kelebihan ibadat korban dalam sebuah hadis yang telah diriwayatkan oleh Imam Tirmizi dan Al-Hakim yang bermaksud: “Tiada dibuat oleh anak Adam pada Hari Raya Adha akan sesuatu amal yang lebih disukai Allah daripada menumpahkan darah (menyembelih korban). Bahawa korban itu datang pada hari kiamat dengan tanduk-tanduknya, bulu-bulunya dan kuku-kukunya. Sesungguhnya darah korban itu mengambil tempat yang mulia di sisi Allah sebelum darah itu tumpah ke bumi, maka hendaklah kamu buat korban itu dengan hati yang bersih.”
Sebenarnya kata Faridilatras, masyarakat hari ini menjadikan sambutan Aidilfitri lebih meriah berbanding Aidiladha kerana kurang faham akan peristiwa bersejarah melibatkan dua insan iaitu Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s yang sangat tinggi nilainya.
“Sudah lebih 1,400 tahun Nabi SAW meninggalkan kita dan sudah pastinya, ibadah hari raya kita sudah ditokok tambah dengan adat-adat dan budaya atau dikurangi beberapa perkara penting sehingga ia kini sudah menjadi lebih budaya daripada agama,” jelasnya.
Di samping itu, Faridilatras berpendapat antara punca utama perbezaan sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha adalah disebabkan kurangnya kesedaran tentang kelebihan melaksanakan amalan sunat seperti ibadah korban.
“Oleh yang demikian, saya merasakan perlu penerapan di peringkat awal kanak-kanak tentang sejarah keagungan ibadah korban agar ia terus bersemadi di dalam pemikiran masyarakat,” katanya.
Sebenarnya kedatangan bulan Zulhijjah tegas Faradilatras, adalah bersama kelebihan dan keistimewaannya yang tersendiri.
Puasa sunat
Jadi, mestilah digunakan sebaiknya oleh umat Islam terutamanya dengan berpuasa sunat hari Arafah bagi yang tidak menunaikan haji, di samping melaungkan takbir bermula pagi sembilan Zulhijjah hingga berakhirnya hari ‘tasyrik’ iaitu hari ke 13 Zulhijjah.
“Islam amat menganjurkan amalan bertakbir (mengagungkan kekuasaan Allah SWT), bertahmid (memuji-muji kebesaran Allah SWT), bertasbih (menyucikan Allah SWT daripada sebarang kesyirikan) bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT,” katanya.
Malah, kalimah takbir yang dilaungkan itu bukan satu kalimah yang kosong, sebaliknya ia mampu menyuntik semangat juang dalam menghadapi pelbagai cabaran dan ujian hidup yang sememangnya terpaksa kita hadapi sebelum diiktiraf tahap keimanan kita kepada Allah SWT.
“Kalau kita hayati maksud Hari Raya Aidiladha itu sendiri, ia membawa maksud Hari Raya Korban, maka kita disunatkan untuk melakukan ibadah korban.
“Ini bagi memupuk semangat sanggup berkorban apa sahaja untuk meninggikan agama serta menghilangkan rasa terlalu sayang pada harta kesenangan dunia.
“Tanpa didikan dan asuhan agama dalam hal berkorban ini, maka agak sukar bagi kita untuk melakukan pengorbanan yang lebih besar terutamanya dalam meninggikan kalimah Allah di atas muka bumi ini,” katanya.
Menurut Faradilatras, umat Islam dianjurkan memperbanyakkan ibadat pada malam Aidiladha. Ini berdasarkan hadis Rasulullah yang bermaksud: “Sesiapa yang menghidupkan dua malam Aidilfitri dan Aidiladha (dengan ibadat), maka hatinya tidak akan mati pada hari di mana hati-hati manusia akan mati (iaitu leka dari mengingati Allah SWT)”. (riwayat Ibnu Majah).
Amalan yang sunat dilakukan pada Hari Raya Aidiladha adalah melakukan korban dengan menyembelih haiwan ternakan seperti lembu dan kambing.
Jika diperhatikan kini, jumlah penyembelihan semakin bertambah setahun demi setahun. Malah trend terbaru ialah menunaikan ibadah korban dan akikah di luar Malaysia atau di negara-negara umat Islam yang lebih memerlukan seperti di Kemboja, Palestin dan sebagainya.
Dalam Islam pengagihan daging korban ke negara luar adalah diharuskan. Ini berdasarkan firman Allah yang bermaksud: Dengan yang demikian makanlah kamu daripada (daging) binatang-binatang korban itu dan berilah makan kepada orang yang susah (yang fakir miskin). (al-Hajj: 28)
“Ayat ini menjelaskan bahawa, kita diperintah untuk mengagihkan dan memberi makan kepada fakir miskin tidak dikhususkan kepada negara-negara tertentu, selagi mana ia tidak terkeluar daripada perintah syarak.
“Di samping itu juga, Islam tidak melarang untuk membantu saudara kita yang berada dalam kesusahan,” katanya.
Lebih baik lagi, jika daging korban dapat diagihkan kepada masyarakat yang lebih memerlukan seperti di negara-negara Islam lain, terutamanya kepada mereka yang ditimpa bencana gempa bumi, peperangan dan kebuluran.
“Dan inilah, salah satu hikmah pelaksanaan ibadah korban yang menjurus kepada perkongsian kemakmuran dan menjauhkan umat Islam daripada sistem ekonomi liberal.
“Masyarakat pada hari ini, sewajarnya menilai bahawa Allah SWT telah menganugerahkan rezeki yang banyak di Malaysia, sehingga daging-daging korban berlebihan, sedangkan ada negara Islam yang masyarakatnya ramai, namun daging korban tidak mencukupi,” kata Faradilatras. Sewajarnyalah program korban dan akikah serta pengagihan di negara-negara umat Islam lain disokong oleh setiap individu Muslim.
Malah menurutnya lagi, Dr. Yusuf al-Qaradawi, dalam penulisannya yang bertajuk Yusuf Qardawi dan pandangannya tentang Fiqh Minoriti dan Maslahah menyatakan, “maslahah (kepentingan umum) bermaksud kepentingan, kebajikan atau apa-apa yang mendatangkan faedah kepada masyarakat”.
Jadi, pengagihan korban ke luar negara seperti di Kemboja dan negara-negara Islam yang lain boleh dikategorikan sebagai maslahah ummah (kepentingan umum).
Menyentuh cara sambutan ibadah korban dahulu hingga sekarang, terang Faradilatras, amalan ibadah korban sebenarnya telah dilaksanakan sejak dari zaman Nabi Adam a.s sehingga ke zaman Jahiliah.
Menyembelih korban di zaman nabi Adam a.s, adalah suatu sunat yang telah amat lama, yang dilakukan pertama kali oleh dua orang anak Adam, iaitu Qabil dan Habil atas perintah Adam a.s.
 Allah SWT: Dan baca oleh mu untuk mereka (terangkanlah olehmu untuk mereka) khabar berita dua orang anak Adam dengan sebenarnya, di kala anak Adam itu mempersembahkan korbannya maka Allah menerima korban salah seorang daripada keduanya termasuk menolak korban yang seorang lagi (iaitu Qabil). (al-Maidah 27)
Pada zaman Nabi Nuh a.s, sesudah terjadi taufan, Nabi Nuh a.s membuat tempat yang sengaja dan tertentu untuk meletakkan korban, yang nantinya korban tersebut dibakar.
Pada zaman Nabi Ibrahim a.s, yang mana pada mulanya beliau melakukan korban itu dengan memberi sedekah roti dan sebagainya. Menurut riwayat, beliau menyembelih anak sapi, kambing dan biri-biri.
Pada suatu ketika, Allah SWT menguji kekuatan iman Nabi Ibrahim a.s dengan memerintah kepadanya agar menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s sebagai korban. Hal ini telah digambarkan oleh Allah SWT di dalam al-Quran, surah ash-Shaffat, ayat 103 – 107.
Penyembelihan korban berterusan dilakukan hingga zaman Nabi Musa a.s iaitu membahagikan binatang yang disediakan untuk korban kepada dua bahagian. Sebahagian dilepaskan sahaja dan sebahagian lagi disembelih.
Sebagai berkongsi pengalaman, beliau yang pernah menuntut di Universiti Islam Madinah menceritakan, kebanyakan orang Arab sentiasa berlumba-lumba terutamanya di dalam hal agama khususnya memperbanyakkan ibadah sedekah dan korban.
Ini kerana mereka meyakini setiap amalan baik akan diberi pahala yang setimpal.
Sewaktu membuat lawatan rasmi kerja di Kemboja pula, beliau dapati, masyarakat kemboja menanti-nanti daging korban daripada luar negara, ini adalah kerana mereka menghadapi kesempitan hidup berbanding negara-negara lain seperti Malaysia.
Oleh itu, saran Faradilatras, umat Islam Malaysia perlu bersyukur dengan nikmat kekayaan yang dianugerahkan oleh Allah SWT dengan menyalurkan bantuan seperti melaksanakan ibadah korban.
Oleh: ZUARIDA MOHYIN

Sumber:
Continue reading...

Peristiwa Penting Dalam Bulan Ramadhan




Bulan Ramadhan bukan hanya terkenal sebagai pusat latihan ibadah kepada umat Islam, malah ia juga terkenal dengan peristiwa besar dalam sejarah Islam antaranya:

BULAN DITURUNKAN AL KITAB
"(Masa Yang Diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan Yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan Yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara Yang benar Dengan Yang salah. oleh itu, sesiapa dari antara kamu Yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan sesiapa Yang sakit atau Dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari Yang ditinggalkan itu pada hari-hari Yang lain. (dengan ketetapan Yang demikian itu) Allah menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan ia tidak menghendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur." (Surah Al Baqarah 185)

Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan. Bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pemisah antara yang benar dan salah. Para pakar tafsir dan hadis merekodkan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab kecil selain Zabur, Taurat, Injil dan Al Quran kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan.

PERISTIWA BADAR

Pada hari Jumaat 2 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali Perang Badar. Badar adalah nama tempat di sebuah lembah yang terletak di antara Madinah dan Mekah. Tentera Islam mengawal lokasi strategik dengan menguasai sumber air yang terdapat di situ. Perang ini melibatkan tentera Islam seramai 313 anggota berhadapan dengan 1,000 anggota tentera musyrikin Mekah yang lengkap bersenjata. Dalam peperangan ini, tentera Islam memenangi pertempuran dengan 70 tentera musyrikin terbunuh termasuk Abu Jahal, 70 lagi ditawan manakala bakinya melarikan diri. Peperangan ini adalah suatu yang luar biasa apabila tentera Islam yang kurang jumlah, lemah daripada sudut kelengkapandan berpuasa dalam bulan Ramadhan memenangi pertempuran Perang Badar. Ini membuktikan puasa bukan penyebab umat Islam bersikap lemah dan malas sebaliknya berusaha demi mencapai keredhaan Allah. Orang yang berjuang demi mencapai kerdhaan Allah pasti mencapai kemenangan yang dijanjikan. Allah menegaskan dalam Surah Aali ‘Imran ayat 123 hingga 125. 

"Sesungguhnya Allah menolong kamu dalam Perang badar, sedangkan pada masa itu kamu orang yang lemah. Sebab itu bertaqwalah kepada Allah supaya kamu mensyukurinya."

ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH

Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang islam. Antara kandungan perjanjian ini menyebut, setiap suku Arab boleh memilih sama ada menjadi sekutu Muhammad ataupun sekutu Quraisy. Kedua-dua pihak tidak boleh berperang dalam tempoh 10 tahun dan tidak boleh membantu pihak lain berperang. Malangnya, dalam suku-suku Arab yang bersekutu itu, ada golongan yang bertelagah iaitu Bani bakar dan Khuza’ah. bani Bakar bersekutu dengan Quraisy Mekah manakala Khuza’ah memilih bersekutu dengan Nabi Muhammad. Pada satu malam, Bani Bakar dengan pertolongan Quraisy Mekah menyerang perkampungan suku Khuza’ah di lembah Watir. Apabila berita itu sampai ke pengetahuan Nabi Muhammad, beliau mengerahkan ratusan ribu umat Islam marake Mekah tanpa pengetahuan penduduk musyrikin Mekah. Beliau menolak sebarang rundingan dengan pihak Quraisy sehingga kemaraan umat Islam hanya diketahui apabila hampir memasuki Kota Mekah. Penduduk musyrikin menjadi jumlah yang kecil tanpa sebarang persiapan hanya bersembunyi di bukit, rumah ibadat dan rumah Abu Sufian. Akhirnya Abu Sufian memeluk Islam dan umat Islam memasuki kota Mekah tanpa sebarang pertumpahan darah. Peristiwa ini menggambarkan pertolongan Allah kepada hamba-hamba yang ikhlas kepadaNya. Allah menyebut dalam Al Quran Surah Al Fath ayat 1: 
"Sesungguhnya Kami telah memberikan kepadamu kemenangan yang nyata". 
Sebahagian pakar tafsir Al Quran memberi maksud ‘kemenangan’ dengan kemenangan bermaksud pembukaan Kota Mekah.

PERISTIWA PERJALANAN NABI MUHAMMAD SAW KE TABUK

Apabila pengaruh Nabi Muhammad SAW tersebar ke pelosok Semenanjung Tanah Arab, ia memberikan tamparan hebat kepada Rom yang menjadi kuasa besar pada masa itu. Lantas Herkules, Maharaja Rom Timur (Bizantin) memutuskan bagi menyekat pengaruh umat Islam dengan utara Tanah Arab. Apabila berita itu samapai ke pengetahuan Nabi Muhammad SAW, beliau mengarahkan umat Islam berkumpul bagi menghadapi Rom dan mengutip zakat. Pada masa itu tanah Arab dilanda panas dan kesusahan. Iman umat islam ketika itu benar-benar teruji. namun, mereka tetap taat kepada perintah Nabi Muhammad. Beliau sendiri memimpin tentera seramai 30,000 anggota ke utara Madinah. Apabila tentera Islam tiba di Tabuk, tentera Rom tidak berada di situ. Sebaliknya Rom menarik diri apabila mengetahui kemaraan tentera Nabi Muhammad SAW yang ramai. Tentera Islam terus mengasak Rom sehingga termeterai perjanjian antara Islam dan Rom. Sebagai persetujuan, Rom tunduk dan bernaung di bawah pemerintahan Nabi Muhammad SAW dan dikenakan cukai sebanyak 3,000 dinar setiap tahun.


ISLAM SAMPAI KE YAMAN

Yaman terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab. Nabi Muhammad mengutuskan Ali bin Abu Talib dengan membawa surat beliau untuk penduduk Yaman khususnya suku Hamdan. Dalam tempoh satu hari, kesemua mereka memeluk agama Islam secara aman. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah.


KHALID BIN AL WALID MERUNTUHKAN BERHALA AL ‘UZZA

Selepas umat Islam membebaskan kota Mekah, Nabi Muhammad SAW menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung di sekeliling Kaabah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 hijrah, beliau menghantar Khalid al Walid bagi memusnahkan patung al ‘Uzza di Nakhla. Menurut kepercayaan Arab jahiliyyah, al ‘Uzza adalah patung dewi terbesar di situ. Ia sering disebut oleh masyarakat Arab apabila melafazkan sumpah. Khalid al Walid melaksanakan tugas itu dengan bergerak menuju ke Nakhla lalu menghancurkan patung al ‘Uzza. Selepas itu, penyembahan patung pun berakhir.


PENYERAHAN BANDAR TAIF

Bandar Taif pernah mencatatkan sejarah apabila penduduknya menghalau Nabi Muhammad SAW semasa berdakwah di sana. Selepas beliau dan umat Islam berjaya membebaskan Mekah, golongan Bani Thaqif berkeras tidak mahu tunduk kepada Nabi Muhammad SAW. Nabi Muhammad SAW dan tentera Islam mara ke Taif lalu mengepungnya dalam tempoh yang lama. Akhirnya rombongan mereka datang ke Mekah pada bulan Ramadhan tahun ke-9 Hijrah dengan menyerahkan bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah. Patung al Laata yang dipuja sebelum ini dimusnahkan.


PEMBUKAAN ANDALUS (SEPANYOL)

Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian Semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus. Tariq memimpin armada Islam menyeberangi laut yang memisahkan Afrika dan Eropah. Selepas pasukan tentera Islam mendarat, Tariq membakar kapal-kapal tentera Islam supaya mereka tidak berfikir untuk berundur. Akhirnya Andalus ditawan dan menyelamatkan rakyatnya yang dizalimi. Islam bertapak di Andalus selama lapan abad dan meninggalkan kesan tamadun yang tinggi nilainya kepada dunia barat.

PEPERANGAN ZALLAQAH; PORTUGAL

Peristiwa ini berlaku selepas subuh hari Jumaat, bulan Ramadhan tahun 459 Hijrah. Ketika itu, berlaku kebangkitan Dinasti Murabit di Afrika Utara. Gabenor Cordova, al Muktamin meminta bantuan Sultan Dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin bagi memerangi al Fonso VI. Tentera Kristian yang diketuai oleh al Fonso VI yang berjumlah 80,000 tentera berjaya dikalahkan. Dalam masa yang singkat Sultan Yusuf berjaya menguasai seluruh Sepanyol dan menyelamatkan umat Islam. Selepas itu, Sepanyol Dinasti Murabit berdiri sejak 1090 hingga 1147 Masihi.

TENTERA ISLAM MENGALAHKAN TENTERA MONGOL

Pada tahun 126 hingga 1405 masihi, kaum Mongol melebarkan penaklukannya hampir kesemua benua Asia. Menurut rekod, empayar penaklukan mereka meliputi seluas 33 juta kilometer persegi. Jeneral tentera Mongol dikenali sebagai Genghis Khan. Dalam misi penaklukan itu, mereka membunuh melebihi sejuta rakyat negara yang ditakluki. Penaklukan mereka menjangkau hingga ke Moscow dan Kiev. Pada tahun 1258, tentera pimpinan Jeneral Hulagu Khan merempuh kota Baghdad zang menjadi kemegahan Dinasti Abbasiah. Dalam serangan itu, ramai umat Islam terbunuh dan banyak buku karangan sarjana Islam dibuang ke dalam Sunagi Furat dan Dajlah sehingga airnya menjadi hitam kerana dakwat. Pada 15 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Mongol menguasainya. Kedua-dua pihak bertemu di ‘Ain Jalut. Dalam pertempuran itu, tentera ISlam meraih kemenangan dan berjaya menawan Kitbuqa Noyen, seorang Leftenan Kristian yang memberi nasihat kepada Hulagu Khan bagi menyerang Baghdad. Kitbuqa akhirnya dihukum bunuh. Kemenangan itu adalah suatu yang luar biasa apabila Mongol yang terkenal dengan keganasan akhirnya kalah kepada tentera Islam.

PEPERANGAN YAKHLIZ

Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34,000 anggota mengalahkan tentera Rusiayang berjumlah 740,000. Seramai 10,000 tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran itu. Ia menjadi kebanggaan umat Islam mempertahankan agama yang diancam oleh kerajaan Tzar di Rusia.


TERTAWANNYA GARIS BAR LEV, ISRAEL

Dalam sejarah moden, berlaku Perang Yom Kippur yang melibatkan tentera Islam pakatan Mesir dan Syria dengan tentera Yahudi Israel pada 10 Ramadhan 1390 Hijrah bersamaan 6 Oktober hingga 22 atau 24 Oktober 1973 Masihi. Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Peperangan Arab-Israel 1973, Perang Oktober, dan Perang Ramadhan. Ia adalah sebahagian daripada konflik Arab-Israel sejak dari tahun 1948. Pada bulan Jun 1967, berlaku Perang Enam Hari antara Israel dengan Mesir, Syria dan Jordan. Dalam pertempuran itu , Israel berjaya menduduki Bukit Golan, Syria di utara serta Semenanjung Sinai, Mesir di selatan sehingga ke Terusan Suez. Selepas itu, Israel membina barisan pertahanan di SInai dan Bukit Golan. Pada tahun 1971, Israel memperuntukkan 500 juta dolar Amerika bagi membina kubu dan kerja tanah raksasa yang dinamai Garis Bar Lev sempena nama Jeneral Israel, Haim Ber Lev. Israel bermegah denga kubu Bar Lev yang didakwa ‘tidak dapat ditawan’ kerana mempunyai kekebalan dan teknologi peralatan yang canggih. Namun, tentera Islam berjaya menawan kubu itu sekaligus mengalahkan Israel. Antara peristiwa menarik dalam peperangan ini adalah peranan seorang sarjana Islam merangkap sebagai Imam Masjid Bandar Suez al Marhum, Syeikh Hafiz Salamah yang mengambilalih pimpinan operasi peperangan. Beliau menggantikan jawatan ini apabila gabenor daerah bersedia menyerah kalah. Akhirnya para mujahidin gabungan tentera Mesir, Syria dan penduduk bandar Suez berjaya mengasak tentera Israel yang terpaksa berundur sehingga terpaksa menyerahkan Semenanjung Sinai dan Bukit Golan.


Dipetik dari Buku: Ramadan Tetamu yang di Rindui

Continue reading...

Tok Janggut - Pejuang atau Penderhaka???





Dan janganlah kamu mengatakan (bahawa) sesiapa yang terbunuh dalam perjuangan membela Agama Allah itu orang-orang yang mati, bahkan mereka itu orang-orang yang hidup (dengan keadaan hidup yang istimewa), tetapi kamu tidak dapat menyedarinya [SURAH  AL BAQARAH  2 :154]
Haji Mat Hassan merupakan seorang tokoh yang tidak asing lagi di mata sejarawan-sejarawan tempatan. Seorang pejuang yang gugur syahid dalam perjuangan mempertahankan kedaulatan Islam.

Siapa Haji Mat Hassan?

Haji Mat Hassan lebih dikenali dengan nama Tok Janggut. Dikatakan beliau mendapat gelaran ini kerana janggut panjangnya. Bagaimana kalau aku katakan yang nama Tok Janggut ini sengaja dipopularkan berbanding dengan nama asal beliau kerana ia adalah SATU STRATEGI BRITISH untuk menenggelamkan atau menyembunyikan unsur-unsur jihad yang diperjuangkan oleh Tuan Haji. Sekadar pendapat peribadi.

Isu 1: Ada apa dengan haji?

Bilamana disebutkan nama seseorang itu bermula dengan Haji, contohnya Haji Wan, akan terbayang kepada kita wajah seorang pakcik yang tenang wajahnya, berkopiah, dan sedang senyum ke arah kita. Satu bayangan atau persepsi yang dirasai oleh semua orang tanpa perlu diajarkan kepada mereka. Kesamaan universal!

Mungkin ada yang kurang faham sejauh mana peranan Haji dalam kebangkitan masyarakat menentang penjajah. Untuk melihat impak Haji ini kita kena terjun dan menyelami situasi masyarakat nusantara pada ketika itu. Haji ketika itu dikenali sebagai satu fenomena! Fenomena Haji AMAT DITAKUTI oleh penjajah sehingga memaksa seorang orientalis yang tersohor, Dr. Christian Snouck Hugronje menjalankan satu penyelidikan khusus bagi mendalami amalan agama dan adat budaya masyarakat setempat.(Acheh)

Hasil dari penyelidikan Snock Hugronje, beliau mengatakan:

“Belanda tidak perlu takut kepada pengaruh Haji Indonesia kerana mereka hanya pulang dengan serban, iaitu symbol Haji semata-mata dan tidak semestinya bersikap benci kepada orang kafir. Tetapi jika mereka pulang dengan ilmu pengetahuan Islam sebagai satu cara hidup lengkap, termasuk politik maka kelompok haji ini mesti diawasi oleh pihak penguasa….”
 
Hebatnya pengaruh Haji ini sehinggakan British mengeluarkan arahan memaksa Sultan Muhammad IV mengeluarkan titah perintah melarang rakyat (yang dikalangannya terdapat ramai ulama) menyokong kerajaan Turki Uthmaniyyah. Malah British juga memaksa mufti Kelantan ketika itu mengeluarkan satu surat sokongan menyokong kerajaan British dalam peperangan!

Ringkasnya kita dapat simpulkan yang nama Haji Mat Hassan itu sahaja sudah cukup untuk menggerunkan British ketika itu!

Isu 2: Cukai yang membebankan

Semasa dibangku sekolah dahulu, aku diajar yang kebangkitan Tok Janggut adalah disebabkan oleh cukai semata-mata. Sebelum pergi dengan lebih jauh lagi, syabas dan tahniah aku ucapkan kepada pihak kementerian kerana hari ini fakta tersebut telah diperbetulkan!

Sultan Mansur merupakan Sultan Kelantan yang memakai gelaran Sultan Muhammad III. Sultan Mansur merupakan seorang sultan yang taat beragama dan warak. Baginda termasuk umara’ yang mendampingi ulama. Antaranya adalah, Haji Abdul Malik Sungai Pinang, Tok Ku Syed Hakim@Syed Muhammad bin Syed Alwi, Imam Haji Nik Wan Daud, Imam Haji Abdullah, Imam Haji Mahmud Tuan Padang, Haji Muhammad Ta’, Haji Ismail Langgar, Haji Daud Kampung Menuang, Haji Taib anak Tuan Padang dan Haji Nik Abdul Rahman Dakwat. (Perhatikan kaitan Haji dan ulama!!!)

Sultan Mansur Syah telah menguatkuasakan perlaksanaan undang-undang SYARAK dalam acara guaman sama ada jenayah ataupun mal. Selain perlaksanaan undang-undang hudud ke atas pencuri dan qisas ke atas pembunuh, baginda juga menguatkuasakan undang-undang ta’zir ke atas orang-orang yang tidak berpuasa dan perempuan yang tidak menutup aurat.

Sesungguhnya, zaman Sultan Mansur merupakan suatu zaman gemilang dalam sejarah perundangan Islam dan kehidupan keagamaan rakyat negeri Kelantan. Daulat Tuanku.

Kelantan menerima pengaruh British yang bertindak sebagai penasihat semenjak tahun 1903 namun British terlibat secara lansung dalam pentadbiran Kelantan selepas 1910 setelah Kelantan membantah Perjanjian British-Siam 1909.

Campurtangan British dalam pentadbiran Sultan Muhammad IV menyaksikan British memperkenalkan peraturan baru. Antaranya adalah Sistem Pemilikan Tanah Torrens! Bilamana system ini diperkenalkan, secara automatiknya ia menolak undang-undang tanah tradisional Melayu.

Apa undang-undang tanah tradisional Melayu?

Nah, buka mata anda. Ketahuilah semua bahawa undang-undang tanah tradisional Melayu adalahundang-undang tanah ISLAM!!, iaitu berdasarkan prinsip ihya(usaha) dan thajir(tanda). Maka pengenalan system tanah baru sekaligus MENOLAK undang-undang Islam!

Sahabat-sahabat sekalian, kalau sekarang ini bilamana PAS menyuarakan keinginan untuk melaksanakan Hudud, kala itu sudah ada penyokongnya kerana mereka sudah tahu keberkesanannya. Apatah lagi reaksi masyarakat yang ketika itu sememangnya HIDUP di bawah perlaksanaan hukum Islam(Zaman Sultan Mansur), lalu tiba-tiba ingin dihapuskan! Maka ketahuilah sahabat-sahabat semua, perjuangan Tok Janggut dan kawan-kawan bukan setakat menentang cukai yang tinggi tapi yang lebih penting daripada itu adalah perjuangan
 MENENTANG PENGHAPUSAN UNDANG-UNDANG ISLAM!

Saat itu menyaksikan rakyat membantah cadangan British ini. Surat-surat bantahan dihantar oleh rakyat kepada pihak berkuasa. Salah satunya, datang dari penduduk Kampung Cherang Tuli. Kampung Cherang Tuli merupakan salah sebuah kampung yang terlibat dalam kebangkitan ini. Nah, lihatlah sendiri, penentangan ini BUKAN penentangan cukai semata-mata, tapi 
PENENTANGAN PENGHAPUSAN UNDANG-UNDANG ISLAM!

Isu 3: Kebangkitan peribadi

Terima kasih kepada Prof Nik Anuar Nik Mahmud di atas kupasan yang cukup menarik dalam isu ini. Mungkin ada yang mengatakan kebangkitan Haji Mat Hassan ini lebih bersifat individu, kebangkitan untuk meraih kepentingan sendiri semata-mata. Atau mungkin ada yang berpendapat pemberontakan ini hanya berpunca dari kekecewaan pembesar daerah mengenai kekuasaan dan kedudukannya.

Aku ingin bertanya:

Berapa usia Tok Janggut@Haji Mat Hassan ketika beliau memimpin penentangan ini?

Tok Janggut pada ketika itu berusia 65 tahun. Ulangan, 65 tahun. Apakah seorang yang sudah berusia sanggup melawan British yang sangat berkuasa itu atas dasar kepentingan diri semata-mata? Bukankah harga yang perlu dibayar dengan menentang British jauh lagi MAHAL berbanding harga cukai tinggi yang dikenakan!

Harga sebuah perjuangan!

Harga sebuah perjuangan?
                                               Gambar Tok Janggut dihukum gantung

Sahabat,

British punya angkatan tentera yang tidak usah dicerita akan ramainya. Punya puluhan kapal-kapal perang yang sedia membedil mereka-mereka yang membuat angkara.

Tapi mereka yang memberontak di Pasir Puteh ini memiliki apa?

Mereka tidak ada kapal perang.

Mereka tidak ada bedil-bedil atau senapang-senapang secanggih askar British.

Mereka tidak punya angkatan tentera yang ramai.

TAPI MEREKA MEMILIKI SEMANGAT JIHAD FISABILILLAH!!

Semangat inilah yang dibuktikan oleh Khatib Abu Bakar yang berdepan dengan tentera Inggeris berbangsa Sikh tanpa rasa gementar dan takut sedikit pun. Beliau hanya bersenjatakan sebilah golok!

Isu 4: Pemberontakan reaktif

“Pemberontakan di Pasir Puteh ini adalah sebagai satu respon di atas tindakan British yang kurang ajar. Ia hanya bersifat lokaliti semata-mata dan tidak tersusun.”

Aku MENOLAK pendapat ini atas beberapa alasan:

1. Seruan Jihad

Shaykh-al-Islam, Khayri Effendi telah mengeluarkan fatwa Jihad-I Ekbar Fardi Ayn terhadap Britain dan sekutu-kutunya pada 14 November 1914. Sebagai reaksinya, British telah mengeluarkan enakmen MELARANG akhbar-akhbar tempatan dari menyiarkan berita mengenai peperangan antara British dengan Turki Utmaniyyah pada 21 November 1914. Pemberontakan Tok Janggut adalah pada 1915.

Jadi macam mana seruan jihad ini boleh sampai di Tanah Melayu? Pertama-tamanya, mari kita melihat siapa itu Haji Mat Hassan.

Tahukah anda Haji Mat Hassan pernah menuntut di Mekah dan berguru dengan Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani. Haji Mat Hassan pulang dari Mekah pada tahun 1910.(Rujuk tulisan atas untuk melihat apa yang terjadi di Kelantan pada 1910)

Siapa Syeikh Wan Ahmad?  Beliau merupakan guru kepada hampir seluruh ulama nusantara ini! InsyaAllah aku akan mengupas berkenaan Syeikh Ahmad ini. Ringkasnya Syeikh Ahmad ini merupakan pengasas kepada persatuan orang Melayu iaitu Jami’yatul Fathaniyah di Mekah dan dilantik oleh Sultan Abdul Hamid II sebagai Ketua Jawatankuasa Percetakan Kerajaan Othmaniyyah. Malah beliau juga dianugerahkan kerakyatan Uthmaniyyah pada 1889.

Syeikh Wan Ahmad Al-Fathani –> Tuan Haji Mat Hassan

2. Sebelum pemberontakan di Kelantan ini, telah berlaku beberapa siri pemberontakan:

1833, Vietnam(Champa) - Gerakan pembebasan oleh Katip Sumat. Tidak kenal Katip Sumat? Mari aku terjemahkan. Katip Sumat ini adalah nama yang telah mengalami evolusi, asalnya Katip Sumat ini merujuk kepada Khatib Abdul Samad!

Akhir abad ke-19, Indonesia - Cetusan gerakan kesedaran Gerakan Pan-Islamismee oleh Konsul Sadik Bey dan Duta Muhammad Kamil Bey.

1915, 15 Februari, Singapura - Askar-askar Indian Muslim dari pasukan 5th Light Infantry, di bawah pimpinan Haji Nur Alam Shah, Imam Masjid Kampung Jawa telah memberontak sebagai menyahut seruan jihad Turki Uthmaniyyah.

Sebenarnya 3 pemberontakan ini saling berkait antara satu sama lain. InsyaAllah akan aku ulas di tulisan yang akan datang.

3. Pemberontakan Singapura

Pemberontakan di Singapura menjadi topik perbincangan orang-orang Melayu di Kelantan. Calvert Wells, seorang pegawai British di Kelantan mencatatkan:

“…the Malays in Pasir Mas were said to be discussing the Singapore mutiny before the news was known to the Kelantan Government.”


4. Usaha British

Selain dari memaksa Sultan mengeluarkan titah untuk menangkap Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya, British juga mengarahkan kapal H.M.S Calmus mengawal Kuala Semerak. Mengapa harus mengawal perairan?  Tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menghalang bantuan asing tiba.

Bantuan asing itu merujuk kepada siapa? Fikir-fikirkan!

5. Waktu pemberontakan berlaku

Pemberontakan yang dipimpin oleh Tok Janggut ini berlaku pada bulan April. Apa yang uniknya bulan April ini?

Kebiasaanya, pada bulan April, padi telah dituai. Masyarakat pada bulan ini dan beberapa bulan seterusnya hanya melakukan kerja-kerja ringan seperti berkebun dan mengutip hasil-hasil hutan. Maka dengan kata lain, gerakan pada bulan ini tidak akan membantutkan perkembangan ekonomi masyarakat setempat! Adakah ini masih lagi belum menunjukkan ketersusunan gerakan ini?

6. Tok Janggut, seorang penganalisa

Cantiknya sewaktu pemberontakan ini berlaku, pentadbiran colonial di Kelantan sedang berdepan dengan beberapa masalah. Antaranya adalah masalah kewangan yang teruk sehingga menyebabkan gaji kakitangannya tertunggak beberapa bulan.

7. Sultan yang misteri

Walaupun dijelaskan yang Sultan Muhammad IV mengeluarkan titah supaya rakyat Kelantan menyokong British, namun itu hanya dibuat atas dasar keterpaksaan. British tidak mempercayai Sultan Kelantan, lantaran itulah British bertindak mengerahkan askar mereka untuk menangkap Tok Janggut dan pengikut-pengikutnya. Asalnya, urusan pemberontakan ini diminta diselesaikan oleh Sultan.

Sultan Muhmmad pernah mengatakan tentera Jerman mesti menang dalam peperangan dengan British. Tentera Jerman adalah sekutu Turki!

Malah, menurut Wells, ketika beliau sedang mengukur keluasan Sungai Kelantan dengan tujuan untuk membina stesyen kereta api di tebing sebelah Kota Bharu. Ketika itu, Sultan Terengganu mudik dari kuala ke Kota Bharu. Kapal Sultan Terengganu telah melanggar bot peralatan mengukur Wells dan salah satu bot yang digunakan terbalik meskipun Wells telah berusaha supaya kapal Sultan itu mengelaknya. Sultan Terengganu tersenyum sahaja ketika kapalnya bertindak demikian. Wells juga mengatakan yang Sultan Kelantan dan Sultan Terengganu selalu bertemu dan kedua-duanya tidak menyukai British!

Nah, sudah terang lagi bersuluh akan keteraturan gerakan ini sebenarnya. Pernah dahulu aku menulis tentang Grand Design pemberontakan menentang penjajah. Maka artikel ini mengupas sedikit sebanyak mengenai Grand Design ini. Sesungguhnya gerakan menentang penjajah di Nusantara ini bukanlah gerakan yang semborono tanpa melibatkan perancangan yang teliti, cuma kita sahaja yang buta! Buta kerana sejarah kita ditulis untuk memenangkan satu pihak sahaja. Sejarah kita ditulis untuk mengagungkan pihak-pihak tertentu sahaja.

*Bahan-bahan rujukan yang digunakan:

1. Tok Janggut, Pejuang atau Penderhaka; Nik Anuar Nik Mahmud
2. Ulama dalam sorotan perjuangan kemerdekaan; Riduan Mohamad Nor, Mohd Fadhli Ghani
3. Keturunan raja-raja Kelantan dan peristiwa-peristiwa bersejarah; Abdullah bin Mohamed
4. Ikhtisar sejarah Kelantan; Abdul Razak Mahmud
5. http://ulama-nusantara.blogspot.com/2006/11/100-tahun-kewafatan-syeikh-ahmad-al.html
6. http://ulama-nusantara-baru.blogspot.com/2008/05/syeikh-daud-al-fathani-pengarang-ulung.html

SUMBER :  http://www.terjah.com/v2/news.php?readmore=53


 
Continue reading...

Peristiwa Isra' Mi'raj



Peristiwa Isra' Mi'raj Nabi Muhammad S.A.W. – 27 Rejab

1. Sebelum Isra' dan Mi'raj

Rasulullah S. A. W. mengalami pembedahan dada / perut, dilakukan oleh malaikat Jibrail dan Mika’il. Hati Baginda S. A. W.. dicuci dengan air zamzam, dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan waswasnya. Kemudian dituangkan hikmat, ilmu, dan iman. ke dalam dada Rasulullah S. A. W. Setelah itu, dadanya dijahit dan dimeterikan dengan “khatimin nubuwwah”. Selesai pembedahan, didatangkan binatang bernama Buraq untuk ditunggangi oleh Rasulullah dalam perjalanan luar biasa yang dinamakan “Israk” itu.

2. Semasa Isra' (Perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil-Aqsa):

Sepanjang perjalanan (israk) itu Rasulullah S. A. W. diiringi (ditemani) oleh malaikat Jibrail dan Israfil. Tiba di tempat-tempat tertentu (tempat-tempat yang mulia dan bersejarah), Rasulullah telah diarah oleh Jibrail supaya berhenti dan bersembahyang sebanyak dua rakaat. Antara tempat-tempat berkenaan ialah:

i. Negeri Thaibah (Madinah), tempat di mana Rasulullah akan melakukan hijrah.

ii. Bukit Tursina, iaitu tempat Nabi Musa A. S. menerima wahyu daripada Allah; iii. Baitul-Laham (tempat Nabi ‘Isa A. S. dilahirkan);

Dalam perjalanan itu juga baginda Rasulullah S. A. W. menghadapi gangguan jin ‘Afrit dengan api jamung dan dapat menyasikan peristiwa-peristiwa simbolik yang amat ajaib. 

Antaranya :

- Kaum yang sedang bertanam dan terus menuai hasil tanaman mereka. apabila dituai, hasil (buah) yang baru keluar semula seolah-olah belum lagi dituai. Hal ini berlaku berulang-ulang. Rasulullah S. A. W. dibertahu oleh Jibrail : Itulah kaum yang berjihad “Fisabilillah” yang digandakan pahala kebajikan sebanyak 700 kali ganda bahkan sehingga gandaan yang lebih banyak.

- Tempat yang berbau harum. Rasulullah S. A. W. diberitahu oleh Jibrail : Itulah bau kubur Mayitah (tukang sisir rambut anak Fir’aun) bersama suaminya dan anak-anak-nya (termasuk bayi yang dapat bercakap untuk menguatkan iman ibunya) yang dibunuh oleh Fir’aun kerana tetapt teguh beriman kepada Allah (tak mahu mengakui Fir’aun sebagai Tuhan).

- Sekumpulan orang yang sedang memecahkan kepala mereka. Setiap kali dipecahkan, kepala mereka sembuh kembali, lalu dipecahkan pula. Demikian dilakukan berkali-kali. Jibrail memberitahu Rasulullah: Itulah orang-orang yang berat kepala mereka untuk sujud (sembahyang).

- Sekumpulan orang yang hanya menutup kemaluan mereka (qubul dan dubur) dengan secebis kain. Mereka dihalau seperti binatang ternakan. Mereka makan bara api dan batu dari neraka Jahannam. Kata Jibrail : Itulah orang-orang yang tidak mengeluarkan zakat harta mereka.

- Satu kaum, lelaki dan perempuan, yang memakan daging mentah yang busuk sedangkan daging masak ada di sisi mereka. Kata Jibrail: Itulah lelaki dan perempuan yang melakukan zina sedangkan lelaki dan perempuan itu masing-masing mempunyai isteri / suami.

- Lelaki yang berenang dalam sungai darah dan dilontarkan batu. Kata Jibrail: Itulah orang yang makan riba`.

- Lelaki yang menghimpun seberkas kayu dan dia tak terdaya memikulnya, tapi ditambah lagi kayu yang lain. Kata Jibrail: Itulah orang tak dapat menunaikan amanah tetapi masih menerima amanah yang lain.

- Satu kaum yang sedang menggunting lidah dan bibir mereka dengan penggunting besi berkali-kali. Setiap kali digunting, lidah dan bibir mereka kembali seperti biasa. Kata Jibrail: Itulah orang yang membuat fitnah dan mengatakan sesuatu yang dia sendiri tidak melakukannya.

- Kaum yang mencakar muka dan dada mereka dengan kuku tembaga mereka. Kata Jibrail: Itulah orang yang memakan daging manusia (mengumpat) dan menjatuhkan maruah (mencela, menghinakan) orang.

- Seekor lembu jantan yang besar keluar dari lubang yang sempit. Tak dapat dimasukinya semula lubang itu. Kata Jibrail: Itulah orang yang bercakap besar (Takabbur). Kemudian menyesal, tapi sudah terlambat.

- Seorang perempuan dengan dulang yang penuh dengan pelbagai perhiasan. Rasulullah tidak memperdulikannya. Kata Jibrail: Itulah dunia. Jika Rasulullah memberi perhatian kepadanya, nescaya umat Islam akan mengutamakan dunia daripada akhirat.

- Seorang perempuan tua duduk di tengah jalan dan menyuruh Rasulullah berhenti. Rasulullah S. A. W. tidak menghiraukannya. Kata Jibrail: Itulah orang yang mensesiakan umurnya sampai ke tua.

- Seorang perempuan bongkok tiga menahan Rasulullah untuk bertanyakan sesuatu. Kata Jibrail: Itulah gambaran umur dunia yang sangat tua dan menanti saat hari kiamat.

Setibanya di masjid Al-Aqsa, Rasulullah turun dari Buraq. Kemudian masuk ke dalam masjid dan mengimamkan sembahyang dua rakaat dengan segala anbia` dan mursalin menjadi makmum.
Rasulullah S. A. W. terasa dahaga, lalu dibawa Jibrail dua bejana yang berisi arak dan susu. Rasulullah memilih susu lalu diminumnya. Kata Jibrail: Baginda membuat pilhan yang betul. Jika arak itu dipilih, nescaya ramai umat baginda akan menjadi sesat.

3. Semasa Mi'raj (Naik ke Hadhratul-Qudus Menemui Allah):

Didatangkan Mikraj (tangga) yang indah dari syurga. Rasulullah S. A. W. dan Jibrail naik ke atas tangga pertama lalu terangkat ke pintu langit dunia (pintu Hafzhah).

1. Langit Pertama: Rasulullah S. A. W. dan Jibrail masuk ke langit pertama, lalu berjumpa dengan Nabi Adam A. S. Kemudian dapat melihat orang-orang yang makan riba` dan harta anak yatim dan melihat orang berzina yang rupa dan kelakuan mereka sangat huduh dan buruk. Penzina lelaki bergantung pada susu penzina perempuan.

2. Langit Kedua: Nabi S. A. W. dan Jibrail naik tangga langit yang kedua, lalu masuk dan bertemu dengan Nabi ‘Isa A. S. dan Nabi Yahya A. S.

3. Langit Ketiga: Naik langit ketiga. Bertemu dengan Nabi Yusuf A. S.

4. Langit Keempat: Naik tangga langit keempat. Bertemu dengan Nabi Idris A. S.

5. Langit Kelima: Naik tangga langit kelima. Bertemu dengan Nabi Harun A. S. yang dikelilingi oleh kaumnya Bani Israil.

6. Langit Keenam: Naik tangga langit keenam. Bertemu dengan Nabi-Nabi. Seterusnya dengan Nabi Musa A. S. Rasulullah mengangkat kepala (disuruh oleh Jibrail) lalu dapat melihat umat baginda sendiri yang ramai, termasuk 70,000 orang yang masuk syurga tanpa hisab.

7. Langit Ketujuh: Naik tangga langit ketujuh dan masuk langit ketujuh lalu bertemu dengan Nabi Ibrahim Khalilullah yang sedang bersandar di Baitul-Ma’mur dihadapi oleh beberapa kaumnya. 

Kepada Rasulullah S. A. W., Nabi Ibrahim A. S. bersabda, “Engkau akan berjumapa dengan Allah pada malam ini. Umatmu adalah akhir umat dan terlalu dha’if, maka berdoalah untuk umatmu. Suruhlah umatmu menanam tanaman syurga iaitu lah HAULA WALA QUWWATA ILLA BILLAH”.

Mengikut riwayat lain, Nabi Irahim A. S. bersabda, “Sampaikan salamku kepada umatmu dan beritahu mereka, syurga itu baik tanahnya, tawar airnya dan tanamannya ialah lima kalimah, iaitu: SUBHANALLAH, WAL-HAMDULILLAH, WA lah ILAHA ILLALLAH ALLAHU AKBAR dan WA lah HAULA WA lah QUWWATA ILLA BILLAHIL- ‘ALIYYIL-’AZHIM. Bagi orang yang membaca setiap kalimah ini akan ditanamkan sepohon pokok dalam syurga”. 

Setelah melihat beberpa peristiwa! lain yang ajaib. Rasulullah dan Jibrail masuk ke dalam Baitul-Makmur dan bersembahyang (Baitul-Makmur ini betul-betul di atas Baitullah di Mekah).

8. Tangga Kelapan: Di sinilah disebut “al-Kursi” yang berbetulan dengan dahan pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. menyaksikan pelbagai keajaiban pada pokok itu: Sungai air yang tak berubah, sungai susu, sungai arak dan sungai madu lebah. Buah, daun-daun, batang dan dahannya berubah-ubah warna dan bertukar menjadi permata-permata yang indah. Unggas-unggas emas berterbangan. Semua keindahan itu tak terperi oleh manusia. Baginda Rasulullah S. A. W. dapat menyaksikan pula sungai Al-Kautsar yang terus masuk ke syurga. Seterusnya baginda masuk ke syurga dan melihat neraka berserta dengan Malik penunggunya.

9. Tangga Kesembilan: Di sini berbetulan dengan pucuk pokok Sidratul-Muntaha. Rasulullah S. A. W. masuk di dalam nur dan naik ke Mustawa dan Sharirul-Aqlam. Lalu dapat melihat seorang lelaki yang ghaib di dalam nur ‘Arasy, iaitu lelaki di dunia yang lidahnya sering basah berzikir, hatinya tertumpu penuh kepada masjid dan tidak memaki ibu bapanya.

10. Ke Rabbul-Arbab lalu dapat menyaksikan Allah S. W. T. dengan mata kepalanya, lantas sujud. Kemudian berlakulah dialog antara Allah dan Muhammad, Rasul-Nya:


Allah S. W. T : " Ya Muhammad."


Rasulullah : "Labbaika."


Allah S. W. T : "Angkatlah kepalamu dan bermohonlah, Kami perkenankan."


Rasulullah : " Ya, Rabb. Engkau telah ambil Ibrahim sebagai Khalil dan Engkau berikan dia kerajaan yang besar. Engkau berkata-kata dengan Musa. Engkau berikan Dawud kerajaan yang besar dan dapat melembutkan besi. Engkau kurniakan kerajaan kepada Sulaiman yang tidak Engkau kurniakan kepada sesiapa pun dan memudahkan Sulaiman menguasai jin, manusia, syaitan dan angin. Engkau ajarkan ‘Isa Taurat dan Injil. Dengan izin-Mu, dia dapat menyembuhkan orang buta, orang sufaq dan menghidupkan orang mati. Engkau lindungi dia dan ibunya daripada syaitan."


Allah S. W. T : "Aku ambilmu sebagai kekasih. Aku perkenankanmu sebagai penyampai berita gembira dan amaran kepada umatmu. Aku buka dadamu dan buangkan dosamu. Aku jadikan umatmu sebaik-baik umat. Aku beri keutamaan dan keistimewaan kepadamu pada hari qiamat. Aku kurniakan tujuh ayat (surah Al-Fatihah) yang tidak aku kurniakan kepada sesiapa sebelummu. Aku berikanmu ayat-ayat di akhir surah al-Baqarah sebagai suatu perbendaharaan di bawah ‘Arasy. Aku berikan habuan daripada kelebihan Islam, hijrah, sedekah dan amar makruf dan nahi munkar. Aku kurniakanmu panji-panji Liwa-ul-hamd, maka Adam dan semua yang lainnya di bawah panji-panjimu. Dan aku fardhukan atasmu dan umatmu lima puluh (waktu) sembahyang".

4. Selesai munajat, Rasulullah S. A. W. di bawa menemui Nabi Ibrahim A. S. dan ketika menemui Nabi Musa A. S., baginda menyuruh Rasulullah S. A. W. merayu kepada Allah S. W. T agar diberi keringanan, mengurangkan jumlah waktu sembahyang itu. Selepas sembilan kali merayu, (setiap kali dikurangkan lima waktu), akhirnya Allah perkenan memfardhukan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan mengekalkan nilainya sebanyak 50 waktu juga.

5. Selepas Mikraj

Rasulullah S. A. W. turun ke langit dunia semula. Seterusnya turun ke Baitul-Maqdis. Lalu menunggang Buraq perjalanan pulang ke Mekah pada malam yang sama. Dalam perjalanan ini baginda bertemu dengan beberapa peristiwa yang kemudiannya menjadi saksi (bukti) peristiwa Israk dan Mikraj yang amat ajaib itu (Daripada satu riwayat peristiwa itu berlaku pada malam Isnin, 27 Rejab, kira-kira 18 bulan sebelum hijrah). Wallahu’alam.

(Sumber : Kitab Jam’ul-Fawaa`id) 

Kesimpulannya, peristiwa Isra' dan Mi'raj bukan hanya sekadar sebuah kisah sejarah yang diceritakan kembali setiap kali 27 Rejab menjelang. Adalah lebih penting untuk kita menghayati pengajaran di sebalik peristiwa tersebut bagi meneladani perkara yang baik dan menjauhi perkara yang tidak baik. Peristiwa Isra' dan Mi'raj yang memperlihatkan pelbagai kejadian aneh yang penuh pengajaran seharusnya memberi keinsafan kepada kita agar sentiasa mengingati Allah dan takut kepada kekuasaan-Nya.

Seandainya peristiwa dalam Isra' dan Mi'raj ini dipelajari dan dihayati benar-benar kemungkinan manusia mampu mengelakkan dirinya daripada melakukan berbagai-bagai kejahatan. Kejadian Isra' dan Mi'raj juga adalah untuk menguji umat Islam (apakah percaya atau tidak dengan peristiwa tersebut). Orang-orang kafir di zaman Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam langsung tidak mempercayai, malahan memperolok-olokkan Nabi sebaik-baik Nabi bercerita kepada mereka.

Peristiwa Isra' dan Mi'raj itu merupakan ujian dan mukjizat yang membuktikan kudrat atau kekuasaan Allah Subhanahu Wataala. Allah Subhanahu Wataala telah menunjukkan bukti-bukti kekuasaan dan kebesaran-Nya kepada Baginda Sallallahu Alaihi Wasallam.



Mafhum Firman Allah S. W. T. : “Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Al-Masjidil Haram ke Al-Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (Surah Al-Israa’: Ayat 1).

wallahua’lam..

SUMBER:
http://fullfilth.blogspot.com

Continue reading...
Related Posts with Thumbnails
 

من أنا

Foto saya
Putera tunggal dan kesayangan pasangan bahagia Zaharah binti Ya'akob & Allahyarham Ismail bin Othman (NIRWAN ANANDA)..

Tetamu

Dari M@t@ Ke H@ti Copyright © 2009 Not Magazine 4 Column is Designed by Ipietoon Sponsored by Dezigntuts